KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memecat Menteri Pertahanan, Oleksii Reznikov, dengan menyatakan alasan kementerian tersebut memerlukan "pendekatan baharu" dalam berhadapan perang dengan Rusia yang memasuki bulan ke-19.

"Minggu ini, Parlimen akan diminta untuk membuat satu keputusan peribadi... saya telah memutuskan untuk menggantikan Menteri Pertahanan Ukraine.

“Oleksii Reznikov telah melalui lebih daripada 550 hari perang berskala penuh," kata pemimpin Ukraine itu.

Zelensky dalam masa sama mencalonkan Rustem Umerov, bekas wakil rakyat Ukraine, sebagai Menteri Pertahanan baharu.

"Umerov tidak memerlukan pengenalan tambahan. Saya mengharapkan Parlimen untuk menyokong calon ini," kata Zelensky.

CNN melaporkan konteks utama penggantian Reznikov berlaku selepas beberapa skandal rasuah yang melibatkan Kementerian Pertahanan negara itu.

Walaupun Reznikov tidak terlibat dalam mana-mana daripadanya, skandal-skandal tersebut masih dilihat telah merosakkan reputasinya.

Zelensky telah menyatakan bahawa membasmi rasuah di seluruh kerajaan Ukraine adalah penting bagi peluang Kyiv untuk menjadi anggota Pertubuhah Perjanjian Atlantik Utara
(NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) yang dinantikan negara itu sejak sekian lama.

Presiden Ukraine tersebut menjadikan penindasan skandal dalaman sebagai isu utama dalam kempen pilihan raya beliau. - Agensi